Saturday, 31 December 2011

BERAKHIRNYA 2011…

Assalamualaikum dan Salam Hormat, entri kali ini adalah entri terakhir saya dalam tahun yang indah Allah ciptakan ini 2011. Tahun yang bagi saya adalah satu tahun yang mengajar saya 1001 erti kehidupan dan mengajar saya erti menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Alhamdulillah, bagi saya diri ini menjadi lebih matang dalam berfikir dan mengambil sesuatu perkara itu dengan matangnya tanpa meletakkan statusnya remeh temeh(walaupun teman saya mengatakan perangai macam budak2) tak kisah lah apa pun, tapi yang penting bagi saya tahun 2011 adalah tahun yang mendidik saya menjadi seorang yang dewasa. Banyak pengalaman yang saya tempuhi dalam tahun ini, dari bulan Januari sehingga ke saat saya menulis entri pada kali ini. Alhamdulillah, masih diberikan kesempatan untuk mendapat tempat sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Syukur juga masih diberi nikmat yang tidak terhingga daripada Tuhan Semesta Alam, Allah Azza Wajala.

Cukup setahun saya genap menjadi pelajar luar kampus Universiti Malaya, suatu pengalaman yang mengajar saya erti hidup sebagai warga kota yang sehari – hari menghadapi kesibukan yang mampu menaikkan darah. Dalam hal ini juga, saya mula mendidik untuk menghadapi kehidupan rumah tangga suatu hari nanti jika diperkenankan Allah, keluar pagi balik petang kadang – kadang malam baru sampai ke rumah, ini baru belajar belum bekerja nanti, tapi Alhamdulillah setakat ini saya mampu untuk bertahan walaupun kadang – kadang terasa keletihan dan keserabutan. Tapi saya hadapi dengan senyuman kerana sentiasa di sokong oleh keluarga dan teman saya, sangat bersyukur dikurniakan mereka yang menjadi tulang belakang dalam kehidupan saya. Pendek kata kehidupan saya sehari – harian persis mereka yang bekerja keluar pukul 8 pagi balik pukul 5 petang, barulah saya mengerti betapa susahnya mereka yang mencari nafkah untuk kehidupan lagi – lagi mereka yang sudah bergelar sang suami dan ayah.

Dalam tahun ini juga saya menjadi seorang yang baru dalam membentuk identiti diri, dari seorang yang suka memandang enteng perkara remeh kepada menjadi seorang yang serius dalam sesuatu perkara. Saya berjaya walaupun tidak banyak merubah mana – mana kecacatan dalam akhlak dan tingkah laku saya, satu saja tak dapat nak ubah sikap nakal, akan saya simpan sikap nakal ini kerana ianya membuatkan saya mampu membuat mereka disekeliling saya tersenyum dan gembira tak lupa juga yang sakit hati, maaf ya. 2011, saya juga membuat ramai kawan daripada Akademik Pengajian Islam UM, kawan – kawan yang bagi saya anugerah dari Allah. Mereka yang mempunyai pengetahuan agama yang mendalam untuk saya belajar dari mereka, kadang – kadang soalan yang pelik keluar dari mulut saya, sebab saya seorang yang dahagakan ilmu pengetahuan. Tak lupa juga lima orang sahabat saya dari FSSS yang sentiasa bergurau, bergelak tawa, dan bersama saya dalam perjalanan ini hanafi, faizal, datu, saini, dan nasrul, gembira dapat menjadi sahabat kalian, kalian yang terbaik buat diri saya. Maaf jika banyak kepincangan dalam diri ini.

Tahun 2011 ini saya belajar untuk menghargai peluang yang ada, jangan lepaskan peluang yang diberikan, kerana mungkin ia dapat membentuk diri kita. Saya menjadi tutor sejarah, jadi usahawan jualan barang dan jadi Ajk PSUM serta pengarah interaksi tak lupa juga Timbalan S/U al HAKIM. Ini adalah satu peluang yang akan saya gunakan untuk membentuk diri sebagai seorang manusia yang berguna buat agama, bangsa, dan negara tidak akan saya persia – siakan tanggungjawab yang diberi. Maaf saya dahulukan jika tanggungjawab ini saya tidak lakukan seperti yang telah diamanahkan, ianya memang salah saya sendiri.

Saya menamatkan 2011 sebagai seorang yang masih lagi menunggu masa yang sesuai untuk meluahkan rasa yang terbuku ini, rasa yang saya simpan bertahun lamanya. Yang sengaja saya simpan untuk memastikan bahawa rasa ini datang dari Allah tuan empunya rasa dan bukan datang dari saya semata – mata, semoga tidak terlambat untuk meluahkannya. Dalam hidup saya ini saya hanya ada seorang teman(dirahsiakan identiti dan jantina) yang betul – betul bagi saya memahami keadaan, perangai, dan situasi saya. Tidak pernah saya rasa bosan, meluat, menyampah dengan dirinya, malah dia teman yang mampu membuat saya tersenyum di kala resah, teman yang mampu membuat saya sedar matlamat hidup, teman yang banyak memberi nasihat mengenai kehidupan, dan teman yang sanggup mendengar rintihan hati ini. Bagi saya dia adalah anugerah terindah yang Allah kurniakan dalam kehidupan saya semenjak dahulu lagi, seorang insan yang sangat baik untuk diri saya. Maaf saya pinta kerana pernah membuat awak bersedih dengan sikap kebudak – budakan saya suatu ketika dulu, dan terima kasih kerana masih mahu menjadi sahabat dan teman saya. Maaf juga saya pinta dengan segala sakatan dan usikan saya, maaf ya kalau ada terasa hati dan terima kasih sekali lagi kerana sudi menjadi sahabat dan teman yang hadir dalam diri ini. Insyaallah saya akan ingat semua pesanan awak untuk kebaikan hidup ini. Hanya TERIMA KASIH yang mampu saya ucapkan kepada awak kerana sanggup menjadi sahabat dan teman saya semenjak dari dulu lagi, semoga Allah memberkati dan meredhai hidup awak. Terima kasih untuk itu dan maaf jika ianya menganggu. Terima Kasih menjadi sahabat saya selama 6 tahun ini….

Saya mengakhiri 2011 dengan duduk di rumah dan menonton filem FINAL DESTINATION, tidak berkenan untuk menyambutnya seperti remaja – remaja lain. Tak kene dengan jiwa lama saya ini, bak kata teman saya jiwa emas. Semoga 2011 ini kehidupan saya, IbuBapa saya, adik –beradik saya, awak, dan semua umat Islam mendapat keredhaan Allah. Alhamdulillah, dan syukur Ya Allah dengan semua nikmat dan anugerah yang Kau berikan.

SELAMAT TINGGAL 2011, akan ku kenang semua kenangan – kenangan yang indah mahupun yang tidak J




Ahmad Fitri Bin Aziz
Pelajar Sejarah Universiti Malaya

Friday, 2 December 2011

Peristiwa Hijrah : Satu Permulaan Kepada Pemikiran.

          Tanggal 1 Muharram setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut satu hari kebesaran yang merubah sejarah peradaban dunia. Iaitu awal Muharram, tidak kira di mana kita berada kita berada, di utara di selatan di timur di barat mahu sekalipun, jika ada Islam di situ maka hari kebesaran ini akan disambut. Bagaimana ianya disambut? Itu terpulang kepada kita sebagai umat Islam yang berada di akhir zaman ini, tidak pernah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W mensyariatkan bagaimana ianya mahu disambut. Pelbagai cara sambutan kita saksikan diberbeda – beda negara dalam dunia yang Allah ciptakan ini. Ada yang berarak, ada yang membuat majlis kesyukuran, ada yang membuat majlis ilmu, dan tidak lupa juga ada yang berkumpul beramai – ramai bagi membaca doa akhir tahun dan awal tahun secara berjemaah. Terpulang pada kita bagaimana mahu menyambutnya, asalkan tidak terkeluar dari landasan sebagai orang Islam. 

         Sudah 1389 tahun peristiwa hijrah ini berlaku, jika ianya mengambil perkiraan Masihinya. Jika perkiraan Hijriahnya sama juga jika ditolak umur Rasulullah ketika hijrah dengan tahun hijrah yang baru 1433 – 44 = 1389. Tidak perlu saya menceritakan kembali bagaimana peristiwa hijrah ini berlaku, tidak perlu dihuraikan satu persatu dari Hijrah ke Habsyah iaitu yang pertama sehingga Hijrah ke Madinah. Barangkali semuanya sudah mengetahui akan perihal peristiwa bersejarah umat Islam ini, peristiwa yang merubah perjalanan sejarah peradaban dunia terutama perjalanan Islam sebagai agama di sisi Allah. Peristiwa yang menjadi titik tolak permulaan kepada perkembangan agama Islam yang mampu bertahan dipersada dunia sehingga hari ini. Menjadi agama yang paling banyak dianuti walaupun bersaing dengan agama Kristian yang sudah bertapak beratus – ratus tahun lebih awal bertapak di persada dunia. Itulah istimewanya Islam, agama yang dirahmati dan diredhai Allah. “Sesungguhnya Agama Disisi Allah Ialah Islam” surah ali imran ayat 19.

          Apa yang cuba saya ketengahkan ialah bagaimana peristiwa hijrah ini dalam memberikan signifikannya kepada generasi islam masa kini. Apakah peristiwa ini hanya sekadar peristiwa semata – mata, tiada kesannya dan pengajarannya ataupun peristiwa ini hanya sekadar untuk dijadikan sambutan sahaja. Kita akan merungkai apakah signifikan dan pengajaran kepada generasi islam masa kini, generasi islam akhir zaman yang mana makin lama makin leka di mainan dunia semata – mata. Suka kita ingatkan, sejarah yang berlaku tidak berlaku begitu sahaja, ada pengajaran yang perlu diambil, ada pengajaran yang perlu difahami, ada pengajaran yang perlu dihayati. Bukan untuk sambutan semata – mata, tetapi untuk kita jadikan iktibar dan panduan dalam kehidupan. Begitu juga dalam peristiwa Hijrah junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, selawat ke atas baginda dan para keluarganya. Kita lihat dulu signifikan ataupun kesan peristiwa ini kepada generasi islam pada masa kini.

          Subhanallah, hanya itu yang mampu saya ucapkan tatkala merenung kesan terhadap peristiwa Hijrah ini. Kesan yang tak mampu kita ungkapkan tanpa bersyukur kehadrat Tuhan Yang Esa, Allah jua yang membantu Nabi Muhammad serta umat Islam dalam Hijrah ini. Membawa signifikan yang sangat besar bagi generasi islam masa kini, bagaimana dengan peristiwa Hijrah ini, generasi kini masih dapat menikmati keindahan dalam beragama. Keindahan yang tidak ternilai harganya, keindahan yang tidak dapat digantikan dengan keindahan yang ada dalam dunia ini. Bagaimana  signifikannya sangat memainkan peranan yang besar dalam menentukan corak kehidupan generasi masa kini, saat Rasulullah mengikut perintah Allah untuk berhijrah, saat itu juga masa depan Islam kembali cerah. Bagaimana umat Islam di Mekah diseksa sebegitu kejam oleh golongan Kufar dan ada umat Islam ketika itu hampir putus harapan, tetapi kepada Allah jua mereka berserah. 

          Generasi islam masa kini mampu untuk menikmati hidup sebagai seorang islam adalah kesan dari peristiwa Hijrah ini, semuanya berbalik dengan ke izinan Allah. Apakah dapat kita menikmati Islam pada hari ini, jika junjungan besar dan umat Islam ketika itu tidak berhijrah seperti yang diperintah kan? Kita mampu menjawabnya sendiri. Fikir – fikirkan apakah anda sekarang bergelar Ahmad atau Muhammad, apakah anda dikenali sebagai Siti ataupun Nur, renung – renungkan. Bagaimana dengan keadaan ketika itu yang serba kepayahan, serba kekurangan, umat Islam dengan yakin akan perintah Allah sanggup meninggalkan keluarga yang tersayang demi masa depan Islam, bukan untuk mereka semata – mata tetapi memikirkan untuk generasi akan datang jua. Biarpun penat lelah dan susah sebagainya, demi islam yang tercinta demi generasi akan datang, mereka sanggup meredah padang pasir yang sudah kita maklum akan kepanasannya. Hanya redha Allah yang mereka inginkan, hanya syurga Allah mereka idamkan. 

          Apabila tertegaknya negara Islam berdaulat yang pertama iaitu Madinah, sudah membuktikan bahawa kesannya Hijrah ini tidak dapat dinafikan, semakin lama Islam semakin berkembang, semakin lama islam semakin menerajui politik dunia, semakin lama islam semakin menguasai pelbagai bidang, semakin lama semakin ramai yang memeluk Islam. Semuanya bermula dengan satu peristiwa penting iaitu Hijrah, alangkah hebatnya caturan Yang Maha Esa, satu percaturan yang mampu memberikan 1001 pengajaran kepada yang celik akalnya, yang berfikir mengikut landasan sebetulnya, semua bermula dengan peristiwa Hijrah. Berkembangnya Islam, naik turunya Islam adalah terpulang kepada generasi masa kini, tidak kira tua atau muda, lelaki atau wanita, walaubagaimana pun izin Allah jua yang menentukannya. Tanya diri kita kembali, apakah kita betul – betul menghayati akan peristiwa ini? Apakah kita betul – betul fahami? 

         Barangkali mungkin hanya mendengar ceramah sahaja di mana – mana masjid mengenai ceritanya sahaja tanpa berfikir sejenak akan hikmahnya. Apakah Hijrah ini sudah cukup hanya kita menyanyikan lagu – lagu nasyid sahaja tanpa ada penghayatan dalam liriknya? Apakah hanya kita sambut semata – mata, berarak satu kampung tanpa kita mengambil iktibar? Sesudah itu, dilupakan dan hanya diingati akan peristiwanya pada tahun hadapan. Fikir – fikir, renung – renung, tenung – tenung. Sangat kejam jika kita mahu melupakan begitu sahaja pengorbanan yang dilakukan Rasullullah dan umat Islam dalam peristiwa Hijrah ini, usah menjadi kacang melupakan kulit, usah menjadi seperti anjing yang tersepit, usah menjadi manusia yang lupa daratan. Generasi Islam kini perlu berfikir akan hikmahnya peristiwa Hijrah ini, dan menghayati sedalam – dalamnya, serta bersyukur akan keindahan peristiwa Hijrah ini dengan Hijrahnya Rasulullah dan umat Islam lainnya, kita dapat hidup pada saat ini sebagai MANUSIA YANG BERUGAMA ISLAM. 

          Peristiwa sejarah ini mengajak kita sebagai umat Islam akhir zaman berfikir, berfikir sejenak mahupun lima minit. Bagaimana kita mengintrepretasikan peristiwa Hijrah ini dalam kehidupan kita sebagai umat Islam akhir zaman, jangan dilupakan walaupun sedetik akan peristiwa ini kerana ianya adalah SATU PERMULAAN KEPADA PEMIKIRAN. Kenapa PEMIKIRAN yang saya tekankan, fikir – fikirkanlah kerana sejarah itu ditafsirkan mengikut pemikiran anda sendiri, gunalah akal yang Allah berikan untuk berfikir bagi mendapatkan jawapan. BELAJAR DARI SEJARAH UNTUK MAJU KEHADAPAN.







hak cikta terpelihara : Ahmad Fitri Bin Aziz...Pelajar Sejarah Universiti Malaya.