Friday, 4 January 2013

Menjelmanya 2013, Bersediakah Kita?


Assalamualaikum dan Salam Mesra, sudah lama rasanya jari – jemari ini tidak menari – nari di atas keyboard untuk melahirkan satu cetusan idea dan cetusan rasa. Alhamdulillah, syukur kepada Ilahi atas limpah dan nikmatnya, kita dapat bernafas tatkala saat membaca tulisan ini. Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi peluang untuk menikmati kehidupan harian di tahun baru 2013 ini. Rasanya jika dihitung dengan jari sudah empat hari 2013 menjelma saat 2012 meninggalkan kita empat hari yang lalu. 2012 meninggalkan kita dengan 1001 macam kenangan, yang lepas kita kenang untuk jadikan pengajaran. 2013 menjelma untuk kita mencipta pula 1001 macam kenangan yang baru, berdasarkan pengajaran dari kenangan yang lalu. Itulah kehidupan yang lalu(baca sejarah), mengajar kita untuk menghadapi hari esok supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama, dan berusaha menjadi yang terbaik.

Teringat kata George Santayana “Kita mesti mengalu – alukan kedatang masa depan, dan mengingati ia akan menjadi masa lepas. Dan kita perlu menghormati masa lepas,  dan mengingati ia pernah suatu ketika dahulu menjadi kemungkinan bagi manusia”. Kata – kata tokoh sejarah ini adalah satu kata yang mendalam maksudnya, dan hanya mereka yang celik dan bijak sahaja yang memahami. Tahun yang baru mendatang ini harus kita laluinya dengan suatu macam kehidupan yang baik, dan kita perlu pastikan hari – hari di dalam tahun baru ini kita mampu mencipta suatu kenangan sejarah yang dalamnya ada suka dan ada duka. Suka itu anugerah Allah bagi hambanya, dan duka itu ujian tanda sayang Allah bagi hambanya. Ini kerana tahun yang baru ini akan menjadi kenangan suatu hari nanti, dan kenangan inilah yang akan kita ingat sampai bila – bila kerana ia pernah menjadi suatu cerita dalam kehidupan kita. 2013, bagi kebanyakan dari adalah satu lembaran yang baru untuk kehidupan yang lebih baik.

Persoalannya sekarang, bersediakah kita? Bersediakah kita untuk berusaha menjadi yang lebih baik? Kalau sudah bersedia, apa persediaannya? Bersediakah kita untuk memikirkan kehidupan masa depan? Kalau sudah bersedia, masa lampau mana untuk menjadi rujukan? Semua yang kita mahu lakukan kita perlu ada persediaan, kalau kita mahu berubah menjadi baik, apakan persediaannya. Manusia mana yang perlu kita jadikan rakan, kata bijak pandai “Jika mahu menjadi harimau, rakannya mesti harimau. Jika mahu menjadi kancil, rakannya mesti kancil” maka pilihlah rakan yang baik untuk menjadi yang baik. Kalau mahu memikirkan mengenai masa depan, masa lampau mana yang perlu renungkan? Adakah masa lampau yang putih atau hitam? Sebagai manusia untuk kita menghadapi masa depan (baca : hari esok) lihatlah masa lampau yang hitam dulu, agar kita tidak mengulanginya lagi, tapi tenung kembali masa lampau yang putih agar kita dapat memperbaikinya lagi. 

Sebagai hamba di muka bumi ini, samada suka ataupun tidak kita perlu senantiasa membuat persediaan agar kehidupan dapat kita lalui dengan mudah. Sebagai hamba, ujian dari Allah itu akan sentiasa kita lalui, kerana tanda Allah sayang itu dengan memberi ujian. Tidak diuji juga merupakan satu ujian dari Allah, kerana mahu melihat sensitiviti kita terhadap kehidupan. Maka ini sudah menunjukkan bahawa, ujian dari Allah itu sentiasa ada, cuma samada kita sedar ataupun tidak. Semoga Allah menguji kita mengikut tahap iman kita, takut menjadi semakin kufur walaupun diuji. Untuk 2013 ini sudah bersedikah kita untuk menghadapi hari – harinya? Kita perlu memilih bermula saat ini, meneruskan kehidupan di 2013 sebagai hamba beriman atau sebaliknya. Kita perlu tetapkan hati, manusia apakah yang kita mahu menjadi selepas ini. 

Semuanya kita perlu fikirkan dengan bijak agar kita bersedia menghadapi kehidupan di 2013 ini. Semoga 2013 ini menjadi permulaan kepada perjalanan kehidupan kita yang lebih baik, dan kita mampu bersedia 100% untuk menjadi hamba yang baik kepada Ilahi. Semoga 2013 kita mampu mencipta kenangan indah yang pelbagai, agar kenangan ini mampu kita jadikan rujukan untuk masa hadapan. Bermula sekarang tetapkan langkah untuk menjadi yang positif dengan merenung kembali yang negatif (baca : muhasabah) agar persediaan mampu menjadi mantap. Semoga yang suka dan duka mewarnai kehidupan kita, agar menjadi hamba yang cemerlang, gemilang dan terbilang.